Lelaki Terjun Dari Jambatan Tanjung Lumpur Diselamatkan

KUANTAN: Detik cemas di Jambatan Tanjung Lumpur berakhir tanpa tragedi apabila seorang lelaki berusia 39 tahun yang terjatuh ke dalam sungai berjaya diselamatkan, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 2.42 petang sebelum pasukan penyelamat digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, sebaik pasukan bomba tiba, lelaki berkenaan sudah pun terjatuh dari jambatan ke dalam sungai, namun bernasib baik apabila diselamatkan oleh seorang nelayan yang kebetulan berada di kawasan tersebut dengan bot.

Mangsa kemudian dibawa ke tebing sungai dalam keadaan selamat.

“Pasukan bomba memberikan rawatan awal melalui Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

Terdahulu, satu klip video berdurasi satu minit 20 saat tular di media sosial selepas dimuat naik seorang pengguna TikTok, memaparkan lelaki berkenaan berada dalam keadaan tertekan di atas jambatan.

Rakaman itu turut menunjukkan beberapa individu, termasuk seorang wanita, cuba menenangkan dan menarik mangsa menjauhi bahaya sebelum dia akhirnya terjatuh ke dalam sungai.

BBerkaitan

Latest articles