Lelaki Separuh Bogel Buat Onani Ketika Wanita Tunai Solat

SEGAMAT: Tindakan melampau seorang lelaki melakukan onani dalam keadaan separuh bogel di dalam sebuah masjid di Bukit Siput mencetuskan kebimbangan apabila kejadian itu berlaku ketika seorang wanita sedang menunaikan solat, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 40 tahun berhubung insiden tersebut pada jam 6.29 petang.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku sekitar 11.15 pagi di sebuah masjid di Bukit Siput ketika mangsa sedang menunaikan solat sunat Dhuha.

“Seorang lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba memasuki ruang masjid dalam keadaan separuh bogel sebelum bertindak melakukan perbuatan tidak senonoh sambil memandang ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terkejut dan bimbang akan keselamatan diri, mangsa segera meninggalkan lokasi kejadian.

Siasatan awal polis mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan masjid berjaya merakam aksi suspek.

Lelaki berkenaan dipercayai warga asing berusia lingkungan 30-an, berbadan kurus serta berkulit cerah.

Polis kini sedang giat memburu suspek bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di talian 07-9324222 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles