KUALA LUMPUR: Hanya kerana tindakan ibunya menutup suis televisyen, seorang lelaki mengambik sehingga sanggup membakar ibunya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, Alor Setar, semalam.
Jiran mangsa, Mohd Khalil Ismail, 48, berkata suasana kecoh di kawasan itu dilaporkan ketika waktu sahur.
“Dia mungkin mengamuk bila ibunya matikan suis televisyen sebab menonton dari malam hingga waktu sahur dan kemudian disuruh makan ubat,” katanya memetik laporan BH.
Beliau yang ditemui di sini berkata, mangsa yang dikenali sebagai ‘Tok Chah’, 68, kemudian dipercayai menjadi sasaran amukan anaknya yang berusia 43 tahun itu sebelum ditemukan dalam keadaan terbakar.
“Selepas kejadian itu, anak perempuan suspek berusia 14 tahun berlari keluar meminta tolong, dipercayai ke rumah bapa saudaranya berhampiran.
“Ada jiran menghubungi polis selepas mendapati suspek mengamuk dan tidak lama kemudian polis tiba.
“Anak suspek ada datang memaklumkan kepada ibu saya sebab ibu saya kenal Tok Chah,” katanya.
Suspek pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dalam pengetahuannya, suspek tidak pernah mengamuk sehingga mencederakan orang lain.
“Ada waktu tertentu sahaja dia jadi kurang waras, dia pernah lari keliling kampung tidak berpakaian tapi tak kacau orang,” katanya.
Sehari sebelum kejadian, suspek dikatakan berkelakuan biasa dan membawa ibunya keluar membeli makanan serta ke bank menunggang motosikal.
Suspek dikatakan berpisah dengan isterinya sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, seorang lelaki dipercayai saudara mangsa memberitahu, anak dan cucu warga emas itu keadaan trauma dan enggan menemui orang luar.
Semalam, seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental dipercayai mengamuk sebelum membunuh ibunya yang ditemui dengan kesan terbakar di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, Alor Setar.