KUANTAN: Seorang pemilik kedai telefon bimbit berdepan detik cemas apabila nyaris dikelar dengan pisau jilet oleh seorang wanita warga Myanmar dalam kejadian mengejut di Taman Impianku, petang semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 3.41 petang, suspek dikatakan datang ke premis berkenaan untuk membeli tambah nilai prabayar sebelum bertindak agresif dan mengacukan senjata tajam ke leher mangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang melaporkan kejadian cubaan merompak bersenjata di lokasi terbabit.
“Suspek membayar tunai untuk tambah nilai RM30, dan ketika telefon bimbitnya dicas oleh mangsa, dia tiba-tiba mengeluarkan pisau jilet dari beg galas dan cuba menyerang,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejadian berlaku apabila mangsa berpaling membelakangi suspek untuk mengecas telefon.
Secara tiba-tiba, suspek mengacukan pisau jilet ke leher mangsa, namun pemilik kedai itu sempat menepis dan bergelut sebelum berjaya meminta bantuan orang ramai.
“Mangsa mengalami hirisan kecil di leher dan kaki kiri, namun tiada kecederaan serius. Tindakan pantasnya berjaya menyelamatkan keadaan,” jelas Wan Mohd Zahari.
Suspek kemudian dikurung di dalam kedai oleh orang awam sebelum polis tiba dan menahan wanita tersebut.
Suspek disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk secara tidak sah.
Rakaman keterangan awal mendapati suspek mendakwa tindakannya berpunca daripada rasa terhina, kononnya mangsa mengeluarkan kata-kata tidak sopan ketika menunggu telefonnya dicas.
“Suspek mendakwa berasa terhina dengan kata-kata mangsa, lalu bertindak agresif,” ujar Wan Mohd Zahari.