SHAH ALAM: Seorang warga Nepal yang sebelum ini disiasat kerana meliwat dan mencampak seekor kucing, dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas dua kesalahan berasingan, termasuk berpakaian separuh bogel dan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah.
Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin memerintahkan tertuduh, Arman Shah, 33, menjalani hukuman sebulan penjara bagi kesalahan berpakaian tidak senonoh, manakala tiga bulan lagi untuk kesalahan imigresen, kedua-duanya berjalan secara berasingan.
Dalam pertuduhan pertama, Arman didakwa berpakaian separuh bogel di hadapan seorang lelaki berusia 33 tahun di tingkat empat sebuah pangsapuri di Seksyen 31, Kota Kemuning sekitar 12.30 tengah malam, 15 November lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Untuk pertuduhan kedua, pengawal keselamatan itu didakwa memasuki negara ini tanpa dokumen sah di lokasi dan masa sama, mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000.
Arman, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman minimum, namun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Ariz Zainal Alam mencadangkan hukuman lebih berat sebagai pengajaran.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Arman turut mengaku bersalah mendera seekor kucing secara kejam di lokasi yang sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan hukuman sehingga tiga tahun penjara atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.
Hakim Fatimah Zahari tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 8 Disember sebagai tarikh untuk pembentangan fakta kes dan hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin.










