Seorang lelaki meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki di lereng Bukit Bendera di Pulau Pinang hari ini.
Lelaki terbabit dikenali sebagai Ooi Hock Eng, 51, dari Sungai Ara, Bayan Lepas.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.39 pagi tadi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.
“Ketika di lokasi, didapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan lereng bukit berkenaan.
“Lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya seperti yang dilaporkan dalam portal Berita Harian Online.
Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut.