Lelaki Mengamuk Libas Parang Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mengamuk sambil melibas parang panjang ketika operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan, akhirnya berjaya ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan sejurus selepas kejadian bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang.

Menurut beliau, insiden berlaku kira-kira jam 11.17 pagi ketika sepasukan polis bersama anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sedang menjalankan Op Roboh bagi merobohkan struktur haram di atas siar kaki kawasan berkenaan.

“Suspek tiba-tiba datang ke lokasi sambil memegang sebilah parang panjang di tangan kanan dan melibas ke arah anggota penguat kuasa DBKL sambil memaki hamun. Beberapa orang awam yang berada di lokasi cuba menenangkannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, polis turut merampas sebilah parang yang digunakan suspek di tempat kejadian.

Susulan itu, siasatan dibuka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Mohamad Lazim dalam pada itu menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran, selain menghentikan penularan video kejadian di media sosial.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Wangsa Maju di talian 03-9281 0715 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan lelaki terbabit mengamuk sambil memegang parang panjang di hadapan orang awam tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles