MARANG: Seorang pekerja kilang ais dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas dua pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak dan video lucah, minggu lepas.
Muhammad Affandi Mohd Azi, 33, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Muhammad Affandi didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Batangan, Marang pada 8.50 malam 23 Dis lepas.
Pegawai Pendakwa, Tuan Norhasnida Tuan Nordin menawarkan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon rayuan rendah atas faktor kewangan, selain menanggung seorang isteri.
Majistret Zur Azureen Zainalkefli membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, sebelum menetapkan 15 Jan depan untuk penentuan hukuman di Mahkamah Majistret Marang.