KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Klang hari ini memerintahkan seorang penganggur yang didakwa mencabul seorang wanita dalam tandas awam di Laman Kreatif Kampung Melayu dihantar ke Hospital Permai bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.
Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno selepas pertuduhan dibacakan semula terhadap tertuduh, Muhamad Sopor @ Nasir.
Terdahulu tertuduh yang berusia 34 tahun itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 24 tahun dengan tujuan mencabul kehormatannya.
Tindakan itu didakwa dilakukan di tandas awam wanita di Laman Kreatif Kampung Melayu, Kluang, pukul 5.30 petang, pada 17 Disember lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman, jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Lzylin Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 4 Februari ini sebagai sebutan semula bagi keputusan lengkap pemeriksaan psikiatri.
Terdahulu, tertuduh mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, di hadapan Hakim Mujib Saroji pada 19 Disember lalu.
Sebutan semula kes tersebut ditetapkan hari ini berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Majistret.
Untuk rekod pada 17 Disember lalu, seorang peniaga wanita mendakwa dirinya menjadi mangsa amang seksual lelaki berkenaan ketika menggunakan tandas awam di Laman Kreatif Kampung Melayu.
Dalam pada itu siasatan terhadap lelaku berkenaan mendapati suspek tidak bekerja dan mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah namun ujian air kencing negatif daripada pengaruh sebarang jenis dadah.