KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Bukit Jalil, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, siasatan mendapati mangsa pergi ke lokasi sekitar jam 3.30 pagi untuk berjumpa teman wanitanya, namun gagal menghubungi wanita tersebut.
“Dia kemudian dipercayai cuba memanjat tebing bersebelahan rumah di tingkat 20 berkenaan, sebelum tergelincir dan jatuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aidil berkata, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui MERS999 pada jam 10.45 pagi.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan lain, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian. Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.