SEREMBAN: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum menjunam ke dasar tebing sedalam kira-kira 200 meter di Kilometer 267.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pagi Jumaat.
Mangsa, Lee Quan Yao, ditemukan tersepit di dalam Honda Accord yang dipandunya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.58 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 digerakkan ke lokasi.
Setibanya pada jam 10.20 pagi, pasukan bomba mendapati kereta mangsa telah merempuh besi penghadang jalan lalu tercampak ke bawah tebing.
Operasi menyelamat mengambil masa sekitar 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dibawa naik menggunakan pengusung.
Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengesahkan kematian mangsa, dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.










