Lelaki Maut Kena Tembak Di Stesen Minyak

KLANG: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun maut selepas dipercayai ditembak dari jarak dekat di sebuah stesen minyak Petronas di kawasan Klang Selatan, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar 11.13 malam yang memaklumkan berlakunya insiden tembakan di lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah lelaki tempatan berusia 34 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. Suspek dipercayai telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah bahagian hadapan kereta mangsa sebelum peluru mengenai tubuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian hadapan badan.

Menurut Shazeli, polis kini sedang memburu suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Aminuddin Mahadi di talian 013-2104006, atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di 03-3376 2222.

BBerkaitan

Latest articles