SEREMBAN: Suasana makan malam sebuah keluarga bertukar ngeri apabila seorang lelaki berusia 33 tahun maut ditembak dan diserang dengan parang oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Nusari Biz Sendayan, malam semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad berkata, insiden itu berlaku sekitar jam 11.23 malam selepas polis menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tembakan dan serangan bersenjata.
Menurutnya, mangsa diserang sebaik saja berjalan ke arah kereta bersama keluarganya.
“Enam suspek bertutup muka menaiki beberapa buah kereta menghalang kenderaan mangsa sebelum keluar dengan bersenjatakan pistol dan parang,” katanya.
Mangsa dilaporkan cuba melarikan diri ke arah jalan raya, namun kumpulan itu terus mengejar sebelum melepaskan beberapa das tembakan dan menyerang lelaki tersebut dengan parang.
Mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Siasatan mendapati mangsa mempunyai 42 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk samun dan mencederakan orang, kata Alzafny. Bedah siasat dijangka dilakukan di Hospital Tuanku Ja’afar.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Polis sedang memburu semua suspek serta mengesan kenderaan terlibat, manakala motif serangan masih disiasat.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Seremban di talian 06-603222 bagi membantu siasatan.










