KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an maut selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang ketika ribut dan hujan lebat melanda kawasan Taman Duta petang tadi.
Menurut Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPM), pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di sekitar ibu negara berikutan cuaca buruk yang melanda sejak lewat petang.
“Kejadian di Persiaran Dutamas, Taman Duta, melibatkan dua kenderaan yang dihempap pokok besar dan mengakibatkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Bomba berkata, beberapa pasukan penyelamat dikerahkan ke kawasan terjejas bagi menjalankan kerja-kerja pemotongan pokok, pembersihan serta memastikan kawasan awam selamat daripada risiko susulan.
Selain Taman Duta, dua lagi insiden serupa dilaporkan di Jalan Metro Prima, Kepong Baru, dan Jalan Burung Balam, Taman Bukit Maluri.
“Kejadian di Kepong Baru membabitkan sebuah kereta dan menyebabkan seorang wanita berusia 30-an cedera, manakala satu lagi insiden di Taman Bukit Maluri turut melibatkan sebuah kenderaan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pasukan bomba kini berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, susulan amaran cuaca buruk yang dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.