Lelaki Libas Remaja Guna Pisau Direman Seminggu

MELAKA: Seorang pemuda berusia 25 tahun yang disyaki melibas seorang remaja perempuan menggunakan pisau ketika mangsa membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu semalam, kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman sehingga 27 Oktober ini dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.

Menurut sumber, suspek ditahan polis malam tadi di rumahnya di kawasan Tangga Batu, hanya beberapa jam selepas insiden berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.

Terdahulu, kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang semalam itu menggemparkan orang ramai apabila seorang remaja perempuan berusia 19 tahun cedera selepas dipercayai diserang lelaki tidak dikenali ketika membonceng motosikal bersama rakan.

Mangsa yang bekerja sebagai operator kilang mengalami luka sepanjang tujuh sentimeter di bahagian belakang pinggang akibat libasan senjata tajam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar serangan.

BBerkaitan

Latest articles