KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan suspek yang bertindak melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dan berkulit cerah dikenalpasti mempunyai 11 rekod jenayah dan dadah.
Sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat saksi awam dan semua saksi telah memberi keterangan pada pihak polis.
“Polis sedang giat menjejaki dan berusaha untuk menangkap suspek, sementara motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan semasa melakukan kesalahan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Ia juga disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Dalam pada itu Hussein memaklumkan, Balai Polis Seksyen 6 menerima maklumat daripada orang awam mengenai tembakan di pusat beli-belah tersebut yang berlaku sekitar 10.50 malam.
Seorang pekerja pembersihan menjadi mangsa tembakan ketika sedang menyimpan peralatan pembersihan di Aras P1 bangunan sebelum dimana empat das tembakan mengenai kaki dan punggung mangsa.
“Walaupun cedera, mangsa dapat melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek melarikan diri ke Aras P2.
“Di situ, suspek melepaskan beberapa tembakan ke arah tingkap tangga dan pintu gelangsar sebelum melarikan diri,” katanya.
Selepas melepaskan tembakan di dalam premis, suspek merampas sebuah Perodua Ativa yang dipandu oleh seorang pengunjung pusat beli-belah dengan mengacukan senjata api dan memaksa pemandu membawanya keluar dari Shah Alam.
“Semasa dalam perjalanan di lebuh raya, suspek mengarahkan pemandu untuk berhenti di tepi jalan lalu melarikan diri,” katanya.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah di 03-5520 2222.