Lelaki Kudung, Rakan Mengaku Tak Bersalah Rompak Barang Kemas

BUTTERWORTH: Seorang lelaki berstatus orang kelainan upaya (OKU) yang kudung tangan kanan dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas tuduhan melakukan rompakan bungkusan berisi barang kemas secara berkumpulan pada 12 Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Zaim Goh Abdullah, 42, dan tertuduh OKU, Mah Cheow Chuen, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca secara bersama di hadapan Hakim Nurzafirah Mohamed Ali.

MalaysiaGazette melaporkan, mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka bersama seorang lagi yang masih bebas telah melakukan rompak berkumpulan ke atas seorang lelaki berusia 27 tahun dengan merompak dua guni mengandungi 160 bungkusan barang kemas.

Semasa melakukan rompakan di hadapan sebuah premis di Pusat Perniagaan Oren, Bagan Ajam di sini pukul 7.35 malam pada 12 Disember lalu mereka turut bersenjatakan sebilah parang.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak dibenarkan ikat jamin.

Mereka masing-masing dibenarkan ikat jamin RM8,000 bagi pertuduhan melakukan rompakan bungkusan berisi barang kemas manakala didenda RM3,000 bagi pertuduhan memiliki harta curi.

Bagaimanapun, Cheow Chuen dalam rayuan memaklumkan dia mempunyai tanggungan isteri, lima anak serta ibunya manakala Muhammad Zaim pula bekerja sebagai tukang besi perlu menyara isteri serta kedua-dua ibu bapanya yang kini memerlukan rawatan dialisis.

Hakim kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Muhammad Zaim dan Cheow Chuen mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki harta curi mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang dibacakan secara berasing terhadap mereka.

Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani menjatuhkan hukuman masing-masing denda RM3,000 dan lima bulan penjara jika mereka gagal bayar denda tersebut.

BBerkaitan

Latest articles