Lelaki Hendap Acacia Diana Akhirnya Mengaku Salah

KUALA LUMPUR: Seorang perunding pengurusan acara sambilan yang sebelum ini didakwa menghendap seorang jurugambar wanita dengan menghantar gangguan berulang melalui media sosial pada Julai lalu, menukar pengakuan kepada bersalah pada hari ini.

Mohamad Safiq Rosli, 37, menggunakan tiga komunikasi akaun Twitter, didakwa atas kesalahan itu mengikut Seksyen 507A(1) Kanun Keseksaan, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Sasha Diana berkata, beliau menerima pengakuan salah tertuduh selepas dapatan laporan perubatan menyatakan Safiq layak dibicarakan dan membuat pengakuan.

Mahkamah menetapkan 19 Dis ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas manakala peguam Fithril Hakim Ab Jalil mewakili Mohamad Safiq.

Dia didakwa mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, melalui aplikasi Twitter atas nama akaun “@sopert99” dengan menghantar komunikasi berbentuk luahan perasaannya di akaun Twitter milik mangsa “@ShaFoShizzle” yang dibaca di sebuah rumah di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 1.40 pagi 15 Julai dan 5.58 petang 21 Julai lalu sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Safiq boleh dihukum mengikut Seksyen 507A(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada 10 Ogos lalu, Safiq mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk merujuk tertuduh ke Unit Forensik Psikiatri di Hospital Ulu Kinta bagi pemerhatian.

BBerkaitan

Latest articles