Lelaki Ditikam Mati, RM20 Jadi Punca

KUALA LUMPUR: Seorang warga Filipina maut selepas ditikam berkali-kali oleh rakan sekerjanya selepas bertengkar mengenai duit RM20, dalam kejadian di ladang kelapa sawit, Ulu Lumagar, Papar, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, insiden dipercayai berpunca wang diberikan mangsa pada rakannya warga Indonesia untuk membeli ikan dan roti, namun slelaki itu tidak membelinya atas alasan kedai tutup.

Justeru, mangsa berusia berusia 37 tahun tampil bersemuka dengan suspek mahu meminta kembali wang berkenaan, tetapi suspek enggan memulangkan RM20 itu.

Ketua Polis Papar Kamaruddin Ambo Sakka, berkata punca pertengkaran disebabkan si mati bertanyakan kepada suspek berusia 26 tahun mengenai wang tersebut yang diberikan isteri mangsa, pada minggu lalu.

“Wang tidak pula dipulangkan semua kepada isteri mangsa. Sebelum kejadian itu juga, dikatakan isteri mangsa pernah meminjamkan wang RM30 kepada suspek, namun dia belum membayar wang berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, ketika pertengkaran, suspek bertindak masuk dalam rumahnya dan mengambil pisau kecil lalu terus menyerang mangsa dengan menikam lelaki itu berkali-kali.

Kamaruddin berkata, susulan kejadian, polis menangkap suspek dalam serbuan di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, Papar.

“Turut ditahan, dua lelaki dan dua wanita dewasa, warga Indonesia dan Filipina, berusia 20 hingga 60 tahun. Polis juga merampas sebilah pisau berhulu kayu yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.”

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

BBerkaitan

Latest articles