Lelaki Ditahan Ugut Pakar Forensik Hospital Queen Elizabeth

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun pagi tadi selepas dipercayai mengeluarkan ugutan jenayah serta menyalahgunakan kemudahan rangkaian terhadap seorang pakar patologi di Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I.

Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek ditahan kira-kira jam 7 pagi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Semporna.

“Pada September lalu, polis menerima laporan daripada pengadu mengenai satu kenyataan di laman Facebook menggunakan akaun ‘Amung Kamaruddin’ yang berunsur ugutan jenayah terhadap seorang pakar forensik hospital berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati suspek adalah pemilik akaun tersebut dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi miliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Jauteh dalam masa sama mengingatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah serta mengelakkan sebarang kenyataan berunsur ugutan atau fitnah.

Semalam, media melaporkan Dr Jessie Hiu, pakar patologi Hospital Queen Elizabeth I, membuat laporan polis selepas menerima ugutan susulan keterangannya di Mahkamah Koroner dalam prosiding inkues kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.

Dalam keterangannya minggu lalu, Dr Hiu, 58, memberitahu mahkamah bahawa si mati tidak mungkin terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri berhampiran penghadang konkrit koridor asrama sekolahnya.

Beliau turut menjelaskan keadaan mayat Zara Qairina menunjukkan tahap pereputan sederhana hingga lanjut, selari dengan tempoh pengebumian, selain kecederaan yang konsisten dengan hasil imbasan CT, CTA dan rekod perubatan si mati.

BBerkaitan

Latest articles