KUALA LUMPUR: Seorang penasihat agensi pelancongan ditahan polis selepas disyaki mencederakan seorang pelajar sekolah menengah dalam satu kejadian perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata laporan mengenai kejadian itu diterima sekitar jam 9.24 malam.
Menurutnya, pengadu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, mendakwa dipukul seorang lelaki yang tidak dikenali susulan perselisihan faham semasa memandu di kawasan berkenaan sekitar jam 2.15 petang.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami retak pada tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.
Bagaimanapun, siasatan mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan dikenakan saman trafik.
Bertindak atas laporan yang diterima, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun pada jam 9.50 malam bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga membahayakan orang lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor E N Chalart Cinda di talian 017-9825510 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 34 saat yang menunjukkan seorang pelajar lelaki berlumuran darah di bahagian hidung di dalam sebuah kereta selepas dipercayai dipukul oleh seorang individu.