Lelaki Ditahan, Ibu Ditemui Mati dengan Kesan Terbakar

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan polis selepas ibunya ditemui mati dengan kesan terbakar di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, Alor Setar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang melaporkan kejadian seorang lelaki mengamuk di kediaman tersebut.

“Sepasukan polis segera dikerahkan ke lokasi dan berjaya menahan suspek di hadapan rumah. Pemeriksaan lanjut menemukan mayat seorang wanita berusia 68 tahun dalam keadaan terbakar, yang dikenal pasti sebagai ibu suspek,” katanya dalam satu kenyataan, memetik laporan Sinar Harian.

Menurut siasatan awal, kejadian berlaku sekitar jam 7.00 hingga 7.30 pagi selepas suspek bertengkar dengan ibunya.

Anak suspek yang berusia 14 tahun memberitahu polis bahawa dia terdengar jeritan neneknya meminta tolong sebelum berlari keluar untuk mendapatkan bantuan jiran.

Bagaimanapun, jiran yang cuba membantu diancam oleh suspek sebelum mereka menghubungi pihak berkuasa.

Nor Salawati turut memaklumkan bahawa suspek adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat, manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

BBerkaitan

Latest articles