Lelaki Disyaki Bunuh Ibu, Isteri Dan Dua Anak Sebelum Tamatkan Nyawa Sendiri

KUANTAN: Seorang lelaki dipercayai bertindak kejam membunuh empat ahli keluarganya sebelum menamatkan riwayat sendiri dalam kejadian di Taman Cherating Damai, hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata lima mayat ditemui dalam keadaan menyayat hati di dalam rumah berkenaan, termasuk suspek lelaki berusia 32 tahun, isterinya berumur 28 tahun, dua anak perempuan masing-masing berusia tiga dan empat tahun serta ibu suspek berusia 53 tahun.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlebih dahulu membunuh isteri dan dua anak mereka di dalam sebuah bilik, sebelum bertindak membunuh ibunya di dapur.

Suspek kemudian disyaki menamatkan nyawanya sendiri, dengan mayatnya ditemui bersama isteri dan anak-anaknya.

“Semua mangsa mempunyai kesan kelar di beberapa bahagian badan dan polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini,” katanya pada sidang media.

Kejadian tragis itu terbongkar selepas seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, yang juga adik suspek, menemui semua mangsa selepas terdengar bunyi bising dari dalam rumah tersebut.

Siasatan awal turut mendapati suspek sebelum ini berhenti kerja di Selangor bulan lalu dan kini bekerja di daerah ini serta tinggal bersama ibunya bersama ahli keluarga lain.

Polis kini giat menyiasat motif kejadian, termasuk kemungkinan tekanan hidup, masalah kewangan dan juga faktor kesihatan mental.

Kesemua mayat akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk proses bedah siasat, manakala siasatan lanjut masih diteruskan bagi merungkai sepenuhnya punca tragedi berdarah ini.

BBerkaitan

Latest articles