KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai suspek kes pembunuhan peniaga wanita di Tanjung Lumpur.
Suspek ditangkap di Kuala Terengganu pada pukul 5.30 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, suspek ditahan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu.
“Turut dirampas bersama suspek iapah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.
“Dengan tertangkapnya suspek ini polis berjaya menyelesaikan kes bunuh melibatkan peniaga berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohd Zahari memberitahu, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuantan pada jam 2 petang hari ini.
Kelmarin, media melaporkan mayat seorang wanita tempatan, Norshamira Zainal, 37, ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.