KUALA LUMPUR: Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman denda RM2,000 dan lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan mengugut keluarga pelawak Harith Iskander pada 23 Jan lalu.
Majistret Mageswary Subramaniam, menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Izzuddin Md Salim, 31, mengaku bersalah di atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkmah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 24 Januari lalu dan sekiranya gagal membayar denda itu dia boleh dipenjara sebulan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membuat ugutan menerusi pesanan WhatsApp yang dihantar ke telefon bimbit syarikat milik Dr Jezamine Lim iaitu bekas isteri Harith.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Izzuddin turut memohon maaf kepada mahkamah dan menyatakan rasa kesal dengan tindakannya terbabit.
Harith dan Jezamine turut hadir pada prosiding itu.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, suspek berusia 31 tahun direman bagi membantu siasatan susulan laporan dibuat Jezamine di Balai Polis Dang Wangi.
Ancaman dipercayai dibuat selepas pelawak berkenaan memuat naik hantaran dalam media sosial mengenai topik ham dan disambut pengikutnya dengan pelbagai komen termasuk didakwa mengaitkan nama Nabi Muhammad SAW.