BUTTERWORTH: Seorang pengawal keselamatan berusia 47 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan ibunya menggunakan pisau dan kunci dalam kejadian di Flat Rumah Hijau Mak Mandin pada 7 September lalu.
Tertuduh, Afzar Rizal Adnan, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas memberitahu hakim bahawa dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.
Hakim Nor Azah Kasran kemudian memutuskan untuk tidak merekodkan pengakuan tertuduh.
Menurut kertas pertuduhan, Afzar Rizal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap ibunya yang berusia 72 tahun dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding, tertuduh merayu supaya dihantar ke Hospital Bahagia untuk rawatan mental, mendakwa beliau pernah mendapatkan rawatan pakar setiap lima bulan namun sejarah kesihatannya tidak diketahui pegawai penyiasat.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed pada mulanya memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta selama sebulan bagi pemeriksaan psikiatri.
Bagaimanapun, permohonan itu ditarik balik selepas pegawai penyiasat, Sarjan Syuhaikha Hamid, memaklumkan tertuduh memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan selain doktor yang ditemuinya mengesahkan tiada masalah psikiatri.
“Pendakwaan percaya tertuduh faham pertuduhan tetapi enggan mengaku. Justeru, kami menarik semula permohonan pemeriksaan psikiatri dan memohon mahkamah menolak jaminan kerana mangsa adalah ibu kandung tertuduh dan mereka tinggal serumah, yang boleh menimbulkan risiko,” katanya.
Mahkamah kemudian menolak permohonan tertuduh untuk dihantar ke hospital dan memutuskan tiada jaminan diberikan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Oktober depan bagi mendapatkan laporan perubatan.
Pada Ahad lalu, media melaporkan mangsa diserang selepas pulang daripada kelas Dhuha.
Wanita itu mengalami kecederaan serius akibat ditikam dengan objek tajam dan suspek turut cuba mencungkil matanya.
Jiran yang mendengar jeritan sempat menyelamatkan mangsa sebelum dihantar ke hospital.
Suspek ditahan tidak lama selepas kejadian dan hasil ujian saringan mendapati dia positif dadah.