Lelaki Didakwa Bunuh Anak Asuhan Isteri

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu p-hailing berusia 26 tahun didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh anak asuhan isterinya yang berusia lima tahun, pada 3 Mac lalu.

Tiada pengakuan daripada tertuduh, Muhammad Syafiq Daniel Osman, memandangkan kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa membunuh Muhammad Shakir Firman Mohammad Firdaus antara pukul 1.15 hingga 7.15 pagi di salah sebuah bilik di KIP Hotel, Kuala Lumpur.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman mati.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei untuk prosiding sebutan kes.

Sementara itu isteri tertuduh, Nur Nilam Kamaruddin, 26, turut didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menganiaya kanak-kanak tersebut hingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Nur Nilam, yang sedang hamil dua bulan dan ibu kepada tiga anak, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada Nur Nilam dan turut mengarahkan wanita itu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Pasangan suami isteri tersebut sebelum ini direman selama empat hari kerana disyaki mendera Muhammad Shakir Firman Mohammad Firdaus yang berada dalam asuhan mereka sehingga meninggal dunia.

Siasatan awal mendapati mangsa dijaga oleh Nur Nilam sejak 20 Januari lalu dengan bayaran RM800 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya bagi kes ini, Joshua Tee Yee Khuan, memaklumkan bahawa sebutan kes seterusnya ditetapkan pada 9 April.

BBerkaitan

Latest articles