KUALA LUMPUR: Tindakan pantas seorang wanita yang menyedari dirinya dirakam ketika berada dalam tandas sebuah restoran di Bandar Putra, membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh itu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata kejadian berlaku pada 4 Mei lalu jam 10.38 malam, apabila mangsa menyedari ada pergerakan mencurigakan sebelum ternampak sebuah telefon bimbit sedang merakamnya dari arah bawah.
“Mangsa segera keluar dari tandas dan mengesyaki ada individu telah merakam tanpa kebenaran. Beliau kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat beberapa minit kemudian,” katanya dalam sidang media hari ini.
Susulan laporan itu, polis berjaya menahan suspek berusia 20-an di sekitar Segamat pada 9 Mei.
Hasil siasatan lanjut mendapati suspek menyimpan sekitar 16,000 gambar wanita, dipercayai diperoleh melalui rakaman peribadi dan muat turun dari internet.
Turut ditemui ialah dua video rakaman wanita di dalam tandas, termasuk insiden yang membabitkan mangsa terbabit.
“Telefon bimbit suspek dirampas untuk siasatan dan polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 377D dan 292 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman berkaitan perlakuan tidak senonoh dan memiliki bahan lucah,” jelas Ahmad Zamry.
Polis turut menasihatkan orang ramai, terutamanya wanita, supaya lebih peka dengan keadaan sekeliling ketika berada di tempat awam termasuk tandas dan bilik persalinan.
“Kes seperti ini semakin membimbangkan dan kami menyeru orang ramai untuk segera melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan kepada pihak polis,” tambahnya.
Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kegiatan serupa diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis terdekat atau talian hotline PDRM.