KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) menarik balik kelayakan seorang lelaki menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selepas didapati memiliki enam rumah sewa.
Menurut MoF kepada Buletin TV3, lelaki berkenaan kini disiasat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana disyaki gagal mengisytiharkan pendapatan daripada sewaan hartanah miliknya.
“Siasatan lanjut mendapati pemilikan hartanah berkenaan adalah benar. Berdasarkan rekod pindah milik dalam sistem e-Duti Setem Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), hartanah tersebut didaftarkan atas nama penerima dan pasangan beliau. Oleh itu, kelulusan STR dan SARA beliau telah ditarik balik,” kata MoF.
Isu ini tular selepas lelaki itu sendiri memuat naik hantaran di media sosial mendedahkan beliau menerima bantuan STR dan SARA berjumlah RM1,900 setahun sambil mengaku memiliki enam hartanah sewaan sejak 2007.
Hantaran tersebut mencetuskan kemarahan netizen yang menggesa pemilikan hartanah diambil kira sebagai syarat kelayakan bantuan kerajaan.
MoF menegaskan semua pemohon bantuan kerajaan perlu memberikan maklumat yang tepat dan benar.
Sekiranya didapati maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil dan kerajaan berhak menarik balik sebarang bantuan yang diluluskan.










