Lelaki Dari California Dihukum Penjara 212 Tahun

Adakah dunia makin gila atau manusia itu semakin hilang nilai kemanusiaannya?

Seorang lelaki dari California, Amerika Syarikat dikenakan hukuman penjara lebih 200 tahun kerana disabitkan kesalahan menyebabkan kematian dua anak lelakinya dengan menenggelamkan kereta yang dinaiki mereka semata-mata kerana insurans nyawa.

Tertuduh, Ali Elmezayen, 45, memandu kereta bersama bekas isterinya dan dua anak lelakinya yang juga kanak-kanak autistik ke sebuah dermaga di San Pedro, selatan Los Angeles, pada 9 April 2015.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia lapan dan 13 tahun lemas, manakala bekas isteri tertuduh, Raba Diab, diselamatkan seorang nelayan.

Elmezayen melarikan diri melalui tingkap sebelah pemandu yang terbuka dan berenang ke tangga dermaga.

Berikutan kematian anak-anaknya, Elmezayen, seorang warga Mesir, mengumpulkan lebih AS$260,000 (RM1.06 juta) untuk polisi insurans daripada dua syarikat.

Pihak berkuasa mengatakan Elmezayen memindahkan sebahagian besar wang itu ke Mesir dan kira-kira AS$80,000 (RM328,600) dirampas dari akaunnya di Amerika Syarikat (AS).

Elmezayen dihukum pada Oktober 2019 atas tuduhan penipuan, pencurian identiti dan pengubahan wang haram.

Hakim Daerah AS, John Walter menjatuhkan hukuman penjara 212 tahun dan mengecam tindakan tertuduh sebagai jenayah kejahatan dan keji.

Elmezayen masih berdepan tuduhan pembunuhan dua anak lelakinya dan cubaan membunuh bekas isterinya.

BBerkaitan

Latest articles