Lelaki yang mendakwa dirinya diliwat seorang ahli politik pembangkang sebelum ini mendedahkan dirinya dipergunakan oleh pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) untuk melakukan tuduhan itu.
IGP ‘Rimas’ Kes Liwat Terbaru Berkaitan Pemimpin Politik
Lelaki itu memberitahu telah membuat laporan polis terhadap Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Datuk Seri Ramesh Rao Krishnan Naidu dan bloger Raja Petra Kamaruddin yang menyiarkan berita berkaitan liwat berkenaan.
Memetik laporan Malaysiakini, lelaki itu berkata beliau ditawarkan dengan bayaran tertentu untuk membuat akuan sumpah (SD) berkenaan.
“Saya telah diperalat dan dipergunakan oleh Datuk Seri Ramesh Rao Krishnan Naidu dengan melakukan penyebaran berita berunsur lucah di media sosaial keatas saya hingga menyebabkan segala maruah saya dan seluruh ahli keluarga saya tercemar dan telah menyebabkan saya diganggu oleh beberapa pihak media sehingga menyebabkan saya terganggu emosi dan tertekan.
“Tujuan laporan ini dibuat adalah untuk mengambil tindakan kepada Dato Sri Ramesh Rao dan Raja Petra yang menyebarkan berita berunsur lucah ke media sosial,” menurut laporan yang dikongsikan kepada Malaysiakini.
Difahamkan polis telah mengambil kenyataan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ramesh yang diminta memberikan penjelasan terhadap dakwaan itu memberitahu meminta lelaki itu membuat SD berkenaan sebagai membuktikan dirinya mangsa kepada ahli politik pembangkang berkenaan.
Namun Ramesh menepis dakwaan bayaran yang akan diberikan kepada lelaki itu.
“Saya tidak pernah berjanji atau memberitahu (pengadu) bahawa (menteri) akan membiayai dia,” katanya kepada Malaysiakini.
Ramesh juga memaklumkan akan dipanggil pihak polis untuk mendapatkan butiran lanjut dalam tempoh terdekat.
SD terbaru membabitkan seorang lelaki yang didakwa diliwat oleh pemimpin politik pembangkang terkenal itu mula tular pada penghujung minggu lalu yang mengatakan telah melakukan aktiviti seks berkenaan beberapa kali sejak tahun 2013.
Malah kononnya lelaki itu diberikan bayaran RM300 setiap kali mereka bersama.
Lelaki itu juga mendakwa diminta oleh pemimpin politik berkenaan untuk memperkenalkan seorang kawannya dan kedua-duanya telah melakukan hubungan seks dan rakannya itu juga diberikan bayaran yang sama.