Lelaki Bujang Didakwa Rogol, Amang Seksual Remaja 14 Tahun

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan dalam kejadian pada Mac lalu.

Tertuduh, Mohamad Kasim Abdul Wahab, 52, didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun di tepi Sungai Kering di Kampung Belum Baru Lawin, Gerik, sekitar jam 1 tengah hari pada 27 Mac lalu.

Mohamad Kasim, yang masih bujang terdahulu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, dengan pertuduhan dibaca di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun beserta sebatan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa bagi tujuan seksual di lokasi, jam dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 14(6) akta sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat bagi setiap satu pertuduhan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kacau ganggu ekoran lelaki itu tinggal berjiran dengan mangsa.

Bagaimanapun katanya, sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihaknya memohon wang jaminan tinggi dengan dua penjamin beserta syarat tambahan bahawa lelaki itu tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin memohon anak guamnya untuk diikat jamin kerana mangsa dalam kes berkenaan kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Negeri Sembilan.

Katanya anak guamnya juga mempunyai pendapatan RM800 sebulan selain perlu menanggung ibu berusia 77 tahun yang kini sakit tua.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua orang penjamin di mana seorang daripadanya mesti dalam kalangan ahli keluarga terdekat.

Selain itu tertuduh dan ahli keluarganya juga dilarang untuk mendekati dan mengganggu mangsa.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember.

BBerkaitan

Latest articles