KLUANG: Tindakan seorang lelaki melakukan pergerakan seperti bersilat di sebuah tanah perkuburan Islam akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis selepas video tindakannya tular di media sosial.
Lelaki berusia 31 tahun itu, yang masih bujang, diberkas di tepi Jalan Merdeka, Sri Lalang pada jam 1 tengah hari Isnin.
Hasil ujian saringan awal mendapati suspek
positif dadah.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh memaklumkan bahawa suspek turut mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Suspek kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, video berdurasi 27 saat yang merakam aksi suspek di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu itu dirakam oleh pengguna jalan raya sebelum dimuat naik ke media sosial hingga menjadi tular.
Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai keluarga kandung dan tinggal bersama ibu angkatnya di Sri Lalang.
Terdahulu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid mengarahkan Pejabat Kadi Daerah Kluang menyiasat insiden tersebut bagi memastikan tiada unsur yang menyalahi adab ketika berada di kawasan perkuburan.










