KUALA LUMPUR: Seorang warga emas berusia 63 tahun dikenalan hukuman penjara selama enam tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku salah ke atas enam pertuduhan melakukan amang seksual serta mengugut anak saudaranya awal bulan ini.
Hakim Surita Bidin memerintahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkapan 9 Feb lalu.
Bagi pertuduhan pertama hingga lima, pesara itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan 12 tahun di sebuah rumah di Seremban 2 antara 6.30 hingga 8.30 pagi 3 dan 4 Feb lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a), (b) dan (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut didakwa mengikut Seksyen 15B(a) AKSTKK 2017 yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan kerana mengugut mangsa melakukan aktiviti bersifat seksual di lokasi sama kira-kira 6.30 pagi 4 Feb lalu.
Tertuduh merayu mahkamah menawarkan jaminan rendah kerana menghidap strok kecil, selain menanggung dua isteri dan dua anak serta menyesal atas perbuatannya.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi meminta mahkamah menetapkan hukuman penjara dan sebatan sebagai pengajaran serta mengambil kira kepentingan awam mengatasi tertuduh.
“Usia mangsa adalah 12 tahun dan perlu ambil kira kekerapan kes seksual tidak gagal dipertuduhkan. Dalam kes ini, tertuduh merupakan bapa saudara mangsa dan dia tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu,” katanya menurut Bernama.
Mengikut fakta kes, mangsa masih bersekolah dan tinggal bersama ibu saudara serta tertuduh kerana ibu mangsa menemani bapa kandungnya yang dirawat di Hospital Serdang akibat masalah jantung.