Lelaki Berdepan Pertuduhan Bunuh Ibu Mentua

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan membunuh ibu mentuanya di sebuah rumah di Taman Sri Skudai pada awal bulan ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Zuraidi Zakaria, 51, kerana kes bunuh berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Epah Daik,79, di sebuah rumah di Jalan Tembaga Merah, Taman Sri Skudai, pada pukul 4.20 petang pada 5 Februari lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum gantung hendaklah juga dikenakan hukuman 12 kali sebatan sekiranya didapati bersalah.

Majistret Atifah Hazimah Wahab kemudian menetapkan 28 April depan menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu media melaporkan polis menahan seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan susulan kematian seorang warga emas yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah rumah di Taman Sri Skudai.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata, tangkapan dua warga tempatan itu dibuat selepas polis mengesyaki terdapat unsur jenayah terhadap kematian warga emas yang juga wanita berusia 79 tahun itu.

Beliau berkata, wanita itu ditemui pada pukul 7.08 malam dalam terbaring di ruang tamu dan bertutup dengan kain batik.

BBerkaitan

Latest articles