Lelaki Berbaju Tidur Doraemon Dicekup Berkhalwat Dengan Remaja 16 Tahun

KULIM: Aksi mencurigakan seorang pemuda yang ditemui memakai pajamas kartun Doraemon ketika berdua-duaan dengan seorang remaja perempuan di sebuah bilik rumah kedai di Taman Kota Kenari, pagi semalam berakhir dengan serbuan penguat kuasa agama.

Serbuan dilakukan sekitar jam 9.50 pagi selepas pihak berkuasa menerima maklumat awam mengenai kegiatan mencurigakan di premis itu.

Ketibaan pegawai penguat kuasa menemukan pasangan tersebut berada dalam sebuah bilik tanpa sebarang bukti mereka mempunyai hubungan sah sebagai suami isteri.

Siasatan awal mendapati gadis berusia 16 tahun itu bekerja di sebuah pusat snuker di Lunas dan baru tiga bulan menyewa di lokasi berkenaan.

Lelaki berusia 23 tahun yang dikatakan baru berhenti kerja kilang pula dilaporkan kerap menghantar dan mengambil remaja terbabit pergi serta pulang kerja.

Apa yang lebih mencuri perhatian pihak penguat kuasa ialah pakaian pasangan itu ketika diserbu adalah remaja perempuan berkenaan memakai baju kelawar, manakala pemuda itu pula lengkap dengan baju tidur Doraemon milik gadis tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan tambahan terhadap alasan mereka.

Kedua-duanya mengaku bukan mahram, dan lelaki terbabit mendakwa dia “sekadar menumpang tidur” selepas menghantar remaja itu pulang.

Pasangan itu kemudian dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kulim untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

BBerkaitan

Latest articles