KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki memukul jirannya yang berusia 65 tahun menggunakan sebatang besi padu di kawasan jalan tepi Sungai Alai, Pengkalan Jajar Alai, Melaka Tengah membawa padah apabila ditahan polis pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata hasil siasatan, kejadian pukul berlaku pada jam 8.30 pagi kerana suspek berang dengan mangsa yang membuat bising dengan sering berkaraoke.
Terlebih dahulu berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dan suspek di tepi Sungai Alai sehingga kedua-dua mereka saling ludah meludah ke muka masing-masing.
“Punca kejadian dikatakan apabila mangsa suka berkaraoke dan suspek menegur perbuatan bising itu telah mengganggu dia dan keluarganya menyebabkan mereka tidak lagi bertegur sapa.
“Pergelutan pada Khamis lalu akhirnya mendorong suspek memukul pengadu menggunakan sebatang besi dan terkena pada bahagian lutut kiri mangsa sebelum warga emas itu membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Bertindak hasil maklumat, polis menahan suspek pada jam 1 tengah hari sama dan permohonan reman dibuat selama empat hari sebelum disambung lagi tiga hari sehingga 10 April ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja, menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya,” katanya.