CHERAS: Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila didakwa membakar rumah abang iparnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, selepas menuduh mangsa menjadi punca keretakan rumah tangganya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi semalam apabila suspek datang ke kediaman mangsa kononnya untuk mengambil semula barangan peribadi miliknya.
Menurut beliau, keadaan menjadi tegang apabila suspek mula menjerit serta menuduh pengadu telah merosakkan rumah tangganya.
Bagi mengelakkan pertelingkahan, pengadu membenarkan suspek masuk ke rumah sebelum beredar ke hujung tangga blok berkenaan.
“Tidak lama selepas itu, jiran memaklumkan rumah pengadu terbakar. Pasukan bomba kemudian tiba di lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan kejadian tersebut, polis menahan suspek pada jam 11.25 pagi hari yang sama.
Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencing didapati positif dadah.
Mohd Rosdi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, manakala permohonan reman akan dibuat pada 4 Februari 2026 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.










