Lelaki Bakal Timang Anak Didakwa Rogol Adik Kandung

KOTA BHARU: Seorang pembantu kedai makan berusia 20 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas tiga pertuduhan merogol adik kandungnya sendiri sejak mangsa berusia 11 tahun, dalam kejadian yang dilapor berlaku di Bachok sejak tahun 2023.

Tertuduh yang kelihatan tenang di kandang pesalah membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.

Menurut kertas pertuduhan, kejadian pertama berlaku pada April 2023 apabila tertuduh didakwa merogol adik perempuannya itu dalam bilik bapa mereka.

Kes kedua pula didakwa berlaku di dapur rumah pada Disember 2024, manakala kejadian ketiga pada April lalu di sebuah bilik di rumah sama, yang terletak di sebuah kampung di Bachok.

Mangsa yang kini berusia 13 tahun dilaporkan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagi semua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun hingga maksimum 30 tahun serta sekurang-kurangnya 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi iaitu RM15,000 memandangkan kesalahan tersebut sangat serius.

Namun peguam bela, Mohd Firdaus Zainal Abidin merayu supaya anak guamnya diberikan jaminan lebih rendah atas alasan tertuduh masih muda, baru tiga bulan mendirikan rumah tangga dan isterinya kini sedang hamil.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta dilarang sama sekali mengganggu mangsa.

Hakim menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

BBerkaitan

Latest articles