Lebih Sebulan Hilang, “Pak Tam” Ditemui Selamat Di Makkah

KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang jemaah umrah rakyat Malaysia sejak Februari lalu akhirnya terjawab apabila lelaki dikenali sebagai “Pak Tam” ditemui dalam keadaan selamat di Makkah hari ini.

Mohd Syahir Sayuti Ahmad, 45, dilaporkan hilang sejak 17 Februari ketika berada di Tanah Suci, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga dan orang ramai.

Berita melegakan itu disahkan oleh anak saudaranya, Nur Syafini Zainal Abidin, yang memaklumkan bahawa Pak Tam ditemui sekitar jam 4.30 pagi waktu Arab Saudi oleh seorang pekerja warga Indonesia di sebuah masjid di Makkah.

Menurutnya, individu terbabit berjaya menghubungi keluarga Pak Tam menggunakan nombor telefon yang ditemui dalam beg miliknya.

“Alhamdulillah, Pak Tam sudah ditemui. Pekerja itu terus hubungi keluarga kami dan kini pihak agensi pelancongan umrah sedang menguruskan kepulangannya ke Malaysia,” katanya.

Difahamkan, Pak Tam kini berada di bawah jagaan pihak agensi pelancongan sementara menunggu urusan untuk dibawa pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, keluarga masih menanti maklumat lanjut mengenai keadaan sebenar beliau selepas ditemui.

Terdahulu, kehilangan Pak Tam dilaporkan berlaku ketika beliau bersama ahli keluarga lain menunaikan ibadah di Masjidil Haram.

Kehilangannya disedari selepas rombongan berhenti seketika untuk bersiap menunaikan solat Isyak di kawasan bumbung (Sutuh) masjid berkenaan.

Insiden itu sebelum ini tular dan mengundang pelbagai reaksi serta doa orang ramai agar beliau ditemui dalam keadaan selamat.

BBerkaitan

Latest articles