More

    Lebih Elok Pemilihan Dalam UMNO Diadakan Selepas PRU15

    KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan terlebih dahulu daripada pemilihan parti itu.

    Ujarnya, langkah itu dapat memberi ruang kepada pemimpin UMNO yang telah ditugaskan sebagai jentera melaksanakan kerja mereka dengan jawatan sekarang.

    “Bukan kita mahu PRU15 diadakan serta-merta, tetapi kita mahu ia diadakan lebih awal daripada pemilihan parti.

    “Jentera paling kuat adalah Wanita UMNO kemudian Pemuda dan Puteri.

    “Wanita tak ada had umur. Wanita ada jalinan rakyat (JR) yang sangat kuat, tetapi Pemuda ada had umur iaitu hingga 40 tahun kecuali Ketua Pemuda Malaysia.

    “Maklumat yang saya dapat daripada 191 Bahagian Pemuda didapati 117 telah tamat tempoh umurnya jika dibuat sekarang atau awal tahun hadapan, ia akan menjejaskan perjalanan kita,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datuk, hari ini.

    Malah katanya, jika ada yang mendesak supaya pemilihan parti diadakan sebelum PRU15, ia pasti memberi kesan kepada 66 peratus Ketua Pemuda yang akan tamat tempoh khidmatnya.

    “Naib Pemuda pula sebanyak 58 peratus daripada mereka akan tamat sedangkan mereka dilatih sebagai jentera. Bagi Puteri pula, 77 peratus akan tamat tempoh sedangkan mereka sudah diberi tugas.

    “Fikirkanlah… kalau ada jawatan tapi kalah dalam PRU15 macam mana nanti,” jelasnya.

    Ahmad Zahid mengingatkan bahawa kepimpinan UMNO dan kerajaan perlu sentiasa bersependapat.

    “Untuk itu apabila kita harus seiring sejalan, wajib kita memperkukuhkan parti. Jangan ada beberapa kerat, dalam kalangan ‘pemimpin di sana’ yang tak ada jawatan di peringkat nasional mula merancang berbagai-bagai.

    “Tunggulah… sabarlah, kalau mereka benar-benar ada kekuatan, apabila ada pemilihan parti, tawarkan diri (kalau boleh menang), kerana akar umbi mahu supaya hanya pemimpin yang jujur sahaja berada dalam kepimpinan UMNO,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini