KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa orang ramai tidak membuat kesimpulan mudah dengan mengaitkan dirinya bersama Siti Bainun Ahd Razali, iaitu
tertuduh kes penderaan seorang gadis sindrom down yang dikenali sebagai Bella.
Ini berikutan selepas tular gambar wanita itu bersama keluarga beliau.
Tegas Ahmad Zahid, sepanjang menjadi orang politik, beliau telah membantu ramai individu termasuk didatangi mereka yang meminta bantuan dan sumbangan kewangan untuk tujuan kebajikan.
”Namun saya sama sekali tidak akan melindungi sesiapa saja antara mereka itu jika didakwa terlibat dalam jenayah. Hanya dengan mengaitkan gambar saya dengan tertuduh juga tidak berasas, sebagai seorang pemimpin mana mungkin saya menolak permintaan sesiapa sahaja untuk bergambar.
”Sebagai contoh hari ni saya memuji seseorang tokoh berkenaan kebaikan dan kehebatannya di media sosial saya, setelah sekian lama dia pula dituduh melakukan jenayah dan perbuatan yang salah disisi undang-undang, adakah saya juga dikaitkan kerana pernah memuji beliau,” katanya.
Ahmad Zahid juga meminta orang ramai membiarkam mahkamah menentukan kebenaran melalui proses perbicaraan yang adil dan saksama.
Dalam pada itu Ahmad Zahid kesal dengan dakwaan beberapa pihak kononnya beliau cuba mempengaruhi mahkamah dalam perbicaraan kes Bella sedangkan beliau tidak mempunyai sebarang kuasa berbuat demikian.
”Saya tidak berada dalam kerajaan untuk menekan pihak pendakwaan seperti yang dilakukan kerajaan 22 bulan. Jika benar saya mempunyai keupayaan seperti itu bukankah lebih baik saya `melindungi’ kes saya.
”Melindungi” kes mahkamah dikenakan terhadap saya oleh kerajaan 22 bulan sejurus mereka memperoleh kuasa. Namun bukankah sehingga hari ini saya gagahi perjuangan untuk membersihkan nama saya di mahkamah,” ujarnya.
Dalam kenyataan yang sama Ahmad Zahid juga berpesan bahawa bulan Ramadan yang mulia ini tidak sepatutnya dicemari dengan nilai-nilai kebatilan seperti itu.
Apatah lagi menjelang PRU-15 janganlah diulangi politik fitnah dan kebencian seperti PRU-14 kerana akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.
”Saya jelaskan disini, jangan kita terlalu mudah mempercayai sesuatu tuduhan dan dakyah yang dibawa. Kaji dan selidiki dahulu setiap berita dan cerita yang disebarkan, jika malas mahu mencari kebenaran, jangan pula kita rajin menyebarkan kepalsuan.
”Dosa yang ada pun tidak tertanggung dan belum tahu telah diampun, jangan ditambah dosa lagi sampai bertimbun-timbun. Kecuali mereka itu terlupa atau buat-buat lupa ketika ini bulan Ramadan, Allah S.W.T jua yang mengetahui segala-galanya,” nasihatnya.