Lebih Baik Jawatan Presiden Tidak Dipertandingkan Ketika Ini, Kata Tok Mat

KUALA LUMPUR: Selepas prestasi mengecewakan UMNO pada pilihan raya umum yang lalu, adalah lebih baik untuk jawatan Presiden tidak dipertandingkan terlebih dahulu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan percaya jika langkah itu diambil, maka ia ‘jalan selamat’ untuk parti kembali teguh dan ahli-ahli bersatu.

“Kalau boleh dalam keadaan kita sudah jatuh terduduk begini sebaiknya jawatan presiden itu eloklah menang tanpa bertanding.

“Kalau bertanding sedikit sebanyak dia ada perpecahan. Jadi kita tak tahulah, terpulanglah pada kita.

“Terpulang pada sendiri. Biarlah jawatankuasa itu yang melaporkan kepada pihak parti,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 15 Mei depan, seiring dengan permohonan parti itu untuk menangguhkan pemilihan di semua peringkat selama enam bulan selepas PRU15.

Sementara itu Mohamad terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang mahu jawatan Timbalan Presiden dipertandingkan .

“Siapa nak bertanding lawan Timbalan Presiden, saya (akan) mempertahankan, saya takda isu (mengenai pertandingan dengan sesiapa) termasuk jawatan presiden perlu terbuka jugalah,” katanya kepada media selepas merasmikan persidangan tiga sayap sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022), malam tadi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebelum ini juga mengatakan kesediaannya untuk dicabar dalam mempertahankan kerusi yang disandang beliau pada 2018 lalu.

BBerkaitan

Latest articles