Lebih 90 Penduduk Kampung Kirokot Sertai PBRS Sokong Calon BN Kundasang

Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menerima kemasukan lebih 90 ahli baharu dari Kampung Kirokot, yang menyatakan hasrat mereka untuk mendapatkan pembangunan dan kehidupan yang lebih baik di bawah Barisan Nasional (BN).

Kemasukan ahli baharu ini adalah bagi menyatakan sokongan penuh terhadap calon BN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Kundasang, Japirin Sahadi, yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Seorang penduduk kampung, Respin Akau, menyerahkan sendiri borang keahlian kepada Japirin ketika calon itu melawat kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) tersebut, yang dicirikan oleh keadaan jalan tidak berturap.

“Baru saya serahkan tadi kepada calon BN ialah 56 helai borang dan ada lagi lebih 40 borang akan diserahkan tidak lama lagi,” kata Respin.

Respin menjelaskan, pilihan penduduk Kampung Kirokot untuk menyokong BN adalah didorong oleh keinginan mendesak untuk perubahan, terutamanya bagi menambah baik jalan raya di kawasan kampung mereka.

“Kami mahukan perubahan kerana ini jalan teruk betul, kami mahu wakil rakyat dari BN berjaya menjadi ADUN seterusnya di kawasan Kundasang ini,” tegasnya.

Dilaporkan, walaupun kedudukan Kampung Kirokot tidak terlalu jauh dari Pekan Ranau, perjalanan ke kampung tersebut memakan masa lebih sejam disebabkan keadaan jalan yang tidak berturap, dengan sebahagian kawasan masih menggunakan jalan tanah merah yang sempit. Sokongan massa ini dilihat sebagai undi protes terhadap kegagalan infrastruktur asas di kawasan pedalaman.

BBerkaitan

Latest articles