PUCHONG: Lebih 50 penerjun profesional dari seluruh dunia dijangka membanjiri Wyndham Grand Ion Majestic Hotel, Genting Highlands Oktober ini sempena penganjuran Genting Highlands International BASE Jump 2025, acara sukan ekstrem bertaraf antarabangsa yang bakal menjadi tumpuan peminat aktiviti lasak.
Acara yang berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober ini dianjurkan Hoverland Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kelab Ababil Base Jump dan akan diadakan pada ketinggian 6,106 kaki dari aras laut.
Dengan tema “Naturally Fearless”, ia bukan sahaja meraikan semangat keberanian tetapi juga ketahanan fizikal, mental dan emosi para penerjun.
Presiden Kelab Ababil Base Jump, Kapten (B) A. Aziz Ahmad berkata salah satu tarikan utama pada edisi kali ini ialah pengalaman terjunan sambil menyaksikan matahari terbit dari langit Genting Highlands.
“Kebiasaannya kita menikmati matahari terbit dari bawah, tetapi kali ini peserta akan melihatnya dari atas ketika melakukan terjunan sekitar jam 7 pagi.
“Kami gelarkan ia sebagai sunrise jump,” katanya.
Menambah keunikan acara ini, lokasi rasmi iaitu Hoverland baru-baru ini diiktiraf sebagai Dek Pemerhatian Tertinggi di Malaysia oleh Malaysia Book of Records pada 29 April lalu, hanya beberapa minggu selepas ia dibuka kepada umum pada Mei 2025.
Antara negara yang akan menghantar peserta termasuk Amerika Syarikat, Australia, Brazil, Jerman, Itali, Rusia, Singapura, Ireland dan banyak lagi.
Kehadiran penerjun profesional antarabangsa ini dijangka menjadikan Genting Highlands International BASE Jump 2025 sebagai salah satu acara utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan inovasi dan sukan ekstrem di rantau ini.
Penganjur turut memastikan aspek keselamatan berada pada tahap tertinggi dengan penglibatan pasukan perubatan, ambulans, serta kerjasama rasmi bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sepanjang acara berlangsung.
Kelab Ababil, yang terkenal dengan penganjuran acara seperti KL Tower Jump, Putrajaya BASE Jump dan Wisma Sanyan International BASE Jump di Sibu, yakin pengalaman luas mereka akan memastikan kejayaan edisi Genting Highlands kali ini.