KUALA LUMPUR: Lebih 3,000 penonton hadir memeriahkan konsert Harmony Charly Van Houten yang berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada Jumaat, 7 Februari lalu.
Malam yang penuh magis dan emosi itu menyaksikan ia bukan sekadar konsert hiburan biasa, tetapi satu perayaan muzik yang menyatukan pelbagai generasi pencinta muzik dari Indonesia dan Malaysia.
Keistimewaan malam itu adalah beberapa kolaborasi eksklusif yang hanya boleh disaksikan dalam Konsert Harmony ini yang menampilkan anak kepada vokalis Setia Band iaitu Restu turut mendendangkan lagunya yang popular menerusi youtube iaitu Dan Aku.
Konsert yang bermula jam 8.30 malam itu dimeriahkan dengan penampilan pertama oleh Tegar Septian, penyanyi muda berbakat yang pernah mencuri perhatian dunia dengan lagu viralnya Aku Yang Dulu Bukan Sekarang. Dengan suaranya yang merdu dan penghayatan mendalam, Tegar memulakan malam dengan lagu Mengharapkanmu, yang terus membawa penonton ke dalam suasana penuh emosi.
Kemeriahan berterusan apabila penyanyi Restu mengambil alih pentas dengan persembahan yang melankolis.
Restu yang juga anak kepada vokalis Setia Band itu membawakan dua lagu iaitu Dan Ku dan Lirih yang menggambarkan perasaan cinta yang mendalam.
Malam diteruskan dengan persembahan Angga Chandra, penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu pop balada yang menyentuh hati. Dengan vokalnya yang bertenaga, Angga membawakan lagu Sampai Tutup Usia, yang menceritakan tentang cinta sejati yang kekal hingga akhir hayat.
Suasana bertukar lebih rancak dengan kemunculan Happy Asmara, penyanyi dangdut yang terkenal dengan gaya santai dan suara uniknya. Beliau memulakan persembahannya dengan lagu Ngopi Masse, sebuah lagu yang mengajak penonton bersantai dan menikmati hidup.
Kemuncak kepada malam konsert itu, Setia Band, yang diketuai oleh legenda muzik Indonesia Charly Van Houten, muncul di pentas dengan lagu pembukaan Rasa Yang Tertinggal.
Setia Band meneruskan persembahan dengan lagu-lagu hit mereka seperti Jangan Ngarep, Aku Terjatuh, dan Jangan Pernah Berubah, yang membuat penonton menyanyi bersama dengan penuh semangat.
Persembahan sepanjang malam itu penuh dengan kepelbagaian genre muzik, dari pop, rock, hingga dangdut, memberikan pengalaman unik kepada para peminat.
Gabungan artis-artis berbakat, setlist yang mantap, dan suasana yang penuh emosi menjadikan konsert ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi para peminat yang hadir.
Megastar Arena Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi saksi kepada kehebatan Setia Band dan rakan-rakannya, tetapi juga bukti bahawa muzik mampu menyatukan semua tanpa mengira latar belakang.
Dengan sambutan luar biasa ini, peminat pastinya berharap agar Konsert Harmony akan kembali lagi pada masa hadapan dengan barisan artis yang lebih besar dan persembahan yang lebih hebat!