Lebih 300 Ahli GRS Angkat Kaki Sertai BN, Sokong Suhaimi

SANDAKAN: Kempen PRN Sabah di DUN Sungai Sibuga semakin panas apabila Timbalan Ketua Bahagian Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) Libaran, Emran Elan, mengumumkan keluar parti bersama lebih 300 ahli untuk menyertai UMNO dan menyatakan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Suhaimi Nasir.

Emran, yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sungai Sibuga, berkata keputusan itu dibuat selepas hilang keyakinan terhadap pimpinan GRS di peringkat kawasan, yang menurutnya gagal menampilkan kepimpinan berorientasikan rakyat.

“Kami melihat kepimpinan BN, khususnya Datuk Suhaimi, jauh lebih matang dan lebih dekat dengan rakyat. Sebaliknya, pucuk pimpinan PGRS di Sungai Sibuga tidak menunjukkan kepimpinan yang benar-benar memperjuangkan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, langkah menyertai UMNO dilakukan selepas menilai sendiri cara kerja Suhaimi yang disifatkannya lebih turun padang, mendengar suara penduduk dan memahami keperluan rakyat tanpa retorik politik.

“Rakyat perlukan pemimpin yang bekerja, bukan sekadar berpolitik. Pendekatan BN jauh lebih pragmatik dan inklusif,” katanya lagi.

Tindakan Emran bersama ratusan ahli tersebut dianggap sebagai suntikan semangat baharu kepada jentera BN di Sungai Sibuga, terutama ketika kempen memasuki fasa kedua.

DUN Sungai Sibuga menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan calon PIS, Warisan, PN-Bersatu dan GRS-Gagasan Rakyat, dengan BN kini dikatakan memperoleh momentum hasil sokongan kumpulan pimpinan Emran.

BBerkaitan

Latest articles