AWMUN X Kumpul lebih 258 Perwakilan Bincang Peranan Golongan Muda Hadapi Revolusi Industri 5.0

KUALA LUMPUR: Lebih 258 perwakilan muda dari 27 negara menyertai Persidangan Dunia Asia (AWMUN) X yang berlangsung selama empat hari, bermula 14 hingga 17 Februari, bertempat di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Persidangan AWMUN X yang dianjurkan oleh Jaringan Global Antarabangsa kali ini membawa tema “Navigating The Future: Shaping Our Role in the 5th Industrial Revolution” iaitu membincangkan peranan golongan muda menghadapi cabaran Revolusi Industri ke-5 terutama dalam kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif ini juga bertujuan untuk mengembangkan kemahiran insaniah yang membentuk asas penting dalam pembangunan belia.

Peserta Persidangan Dunia Asia (AWMUN) X

Pengasas dan Presiden Jaringan Global Antarabangsa, Muhammad Fahrizal, berkata persidangan ini juga menjadi satu wadah bagi golongan belia untuk menunjukkan kemampuan mereka menghadapi isu-isu global yang semakin kompleks menerusi sesi dialog dan perbincangan.

“Kita mencuba untuk menghubungkan mereka (golongan belia) yang memilik minat yang sama untuk bertukar pendapat dan gagasan…sehingga ketika mereka mengikuti persidangan ini mereka memiliki perspektif bagaimana untuk menyelesaikan masalah.

“Dengan hubungan yang mereka miliki dari pelbagai negara, saya berharap kita (melalui persidangan ini) dapat membantu membentuk masa depan mereka (golongan belia) yang cerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pembukaan persidangan yang berlangsung meriah pada Jumaat, semalam, yang menyaksikan kehadiran empat duta besar sebagai pembicara utama.

Antara mereka ialah H.E. Lisualdo Gaspar,Duta Besar Timor-Leste ke Malaysia; Ms. Jabulisile Msibi, Kuasa Usaha Afrika Selatan ke Malaysia; Mr. M.I. Mohamed Rizvi, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia; dan Mr. Carlos Javier,Timbalan Ketua Misi Kedutaan Peru di Malaysia.

Program ini mendapat sokongan penuh daripada Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Penganjuran persidangan ini juga menunjukkan kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah kepada acara antarabangsa, sekali gus memperkenalkan negara sebagai destinasi yang menarik untuk dikunjungi oleh pelancong.

Lebih menarik, program ini turut diiktiraf oleh Pusat Prestasi Nasional di bawah Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan, dan Teknologi Indonesia.

Pengiktirafan ini memberikan kelebihan kepada peserta yang mengikuti persidangan kerana sijil AWMUN yang diterima boleh digunakan dalam permohonan ke universiti-universiti terkemuka.

BBerkaitan

Latest articles