BERA: Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR Bera bakal diadakan pada 12 November (Sabtu) ini, bermula jam 9 pagi, bertempat di Dewan Konvensyen Bera.
Pengerusi Miat Quadra E-Sport Club, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal, berkata, acara yang julung kali diadakan itu dijangka akan menghimpunkan lebih 2,000 beliau dari Parlimen Bera dan kawasan berhampiran.
Apa yang lebih menarik, Lukman Afiq memaklumkan acara itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya terdapat tiga segmen utama yang disediakan pada hari tersebut antaranya, Acara e-sukan (Santai e-Games), Karnival kerjaya (JaminKerja) dan Konsert Keluarga Malaysia.
“Dua segmen utama iaitu e-sukan dan Karnival Kerjaya akan berlangsung daripada pagi hingga petang, manakala terdapat Konsert dianjurkan pada sebelah malam.
“Setakat ini sebanyak 38 kumpulan e-sukan telah mendaftar dengan semuanya anak tempatan Bera, namun penyertaan juga terbuka kepada mereka dari luar Bera,”katanya pada sidang media di Pusat media Parlimen Bera, Padang Luas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lukman Afiq berkata, acara itu turut menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM25,000, cabutan bertuah bernilai hingga RM3,000 berserta peluang bagi memenangi telefon pintar.
Ujar beliau, penganjuran pertandingan e-sukan itu bertujuan mencungkil bakal belia dalam sukan tersebut, yang kini telah menjadi kerjaya sukan dengan ramai pemain muda berjaya di peringkat antarabangsa.
Selain itu, katanya aktiviti menarik lain juga disediakan, iaitu pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan motosikal khusus untuk golongan belia dan food truck.