More

    Lebih 1,700 Kanak-kanak Di Malaysia Jadi Mangsa Jenayah Seksual

    Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff memaklumkan Dewan Rakyat hari ini bahawa sejumlah 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan dalam tempoh Januari hingga 30 Jun tahun ini.

    Jumlah itu diperolehi berdasarkan rekod yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Daripada jumlah tersebut, kes rogol mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 651 kes, disusuli cabul (344); sumbang mahram (106); luar tabii (106) dan baki 514 kes bagi kesalahan di bawah Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

    “…kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan untuk menangani isu jenayah seksual pedofilia ini termasuk pada aspek pencegahan, perundangan dan intervensi, sistem sokongan dan juga kajian dan penyelidikan lanjut untuk membantu memantapkan sistem sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Jumlah keseluruhan kes membabitkan kanak-kanak itu meletakkan Malaysia di kedudukan 23 daripada 60 negara yang berusaha melindungi kanak-kanak dalam kes jenayah seksual menerusi kajian penanda aras yang diterbitkan The Economist Intelligence Unit 2019.

    Siti Zailah juga memaklumkan kementerian telah melakukan pelbagai program seperti advokasi seperti kempen keselamatan kanak-kanak di sekolah (Sahabat Bijak), penggubalan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 serta penalti yang berat sehingga 30 tahun hukuman penjara dan sebat.

    Beliau berkata bagi mempercepatkan proses kehakiman bagi kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, mahkamah jenayah seksual terhadap kanak-kanak juga ditubuhkan di Putrajaya pada 2017 dan di Kuching pada 2018.

    “Kementerian juga mengadakan sesi perbincangan pada 2019 bersama Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Luar yang berkaitan dengan pembangunan SOP bagi memperketatkan lagi kemasukan pesalah jenayah seksual ke dalam negara.

    “Kerjasama juga dilaksanakan dengan UNICEF bagi mengkaji jenayah seksual terhadap kanak-kanak (secara) dalam talian,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini